Tuesday 12 April 2016

BN4SARAWAK : SPR SUDAH BERSEDIA


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak telah bersedia dengan persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-11 yang bakal diketahui tarikhnya Khamis ini.

Semua persiapan berjalan lancar dengan taklimat telah diberikan kepada semua pihak yang akan terlibat dengan operasi pilihan raya itu, kata Pengarah SPR Sarawak Datuk Takun Sunggah.

SPR negeri kini dalam rangka menggerakkan persiapan logistik di semua kawasan mengundi pula, katanya kepada Bernama ketika membuat tinjauan pameran “Semarak Pilihan Raya” anjuran Arkib Negara cawangan Sarawak di Bangunan Sultan Iskandar di sini.

DUN Sarawak dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya DUN ke-11, dan SPR dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mesyuarat bagi membincangkan tarikh penting pilihan raya berkenaan akan diadakan di sini pada Khamis.

Takun mengingatkan semua parti politik supaya mematuhi peraturan pilihan raya dan hanya berkempen selepas hari penamaan calon.

“Kalau berkempen dari segi berkumpul di satu-satu tempat, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada polis.

“Sekiranya ada dalam kalangan parti-parti yang meletakkan bahan kempen sebelum penamaan calon, mungkin tindakan boleh diambil oleh pihak berkuasa tempatan,” kata Takun.

Sementara itu pameran “Semarak Pilihan Raya” dibuka percuma kepada orang ramai di bangunan Sultan Iskandar di sini mulai hari ini hingga Jumaat. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment