KENYATAAN MEDIA
Bil.10/2017
SPR JAMIN TIDAK
BIARKAN JARI PALSU DIGUNAKAN UNTUK PENIPUAN DALAM PILIHAN RAYA UMUM KE-14
1. Berhubung
dengan dakwaan jari palsu bakal digunakan oleh pihak tertentu bagi tujuan
penipuan dalam pilihan raya umum akan datang, SPR menegaskan akan mempastikan
ianya tidak akan berlaku dalam sistem pilihan raya di Negara ini. SPR memberi
jaminan proses pilihan raya yang dikendalikannya adalah bersih, telus dan bebas
daripada sebarang penipuan dan penyelewengan.
2. Ini
berikutan baru-baru ini terdapat dakwaan oleh seorang Ahli DUN Selangor bahawa
jari palsu telah diimport dari China oleh pihak tertentu untuk digunakan bagi
tujuan penipuan dalam pilihan raya akan datang demi mengekalkan pemerintahan
sedia ada. Disamping itu tular yang tersebar di media sosial mengenai imej
gambar jari palsu dan botol dakwat pilihan raya juga telah dikenalpasti
sumbernya.
3. SPR
mengambil serius dakwaan ini dan mesej tular itu dan telah menjalankan siasatan
berhubung dengan dakwaan itu. SPR telah mengenal pasti sumber imej tersebut di
mana ia telah diambil daripada sumber internet yang tersebar di sebuah Negara
jiran. Sumber asal imej tersebut adalah disyaki dipetik daripada laman akikofujita.com yang menyiarkan artikel tulisan Shintaro
Hasyahi yang bertajuk “Prosthetic Fingers Help Reform Former Yakuza Members”
yang telah disiarkan pada 16 Disember 2013. Imej tersebut kemudiannya digunakan
oleh pihak tertentu di Indonesia yang kononnya ia akan digunakan dalam Pilihan
Raya Serentak Indonesia (PILKADA) 2017 yang sedang berlangsung dan
ditularkan.
4. Namun begitu
ia juga telah dipetik dan digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab di Negara
ini dan menyebarkannya melalui aplikasi media sosial bagi menimbulkan
kebimbangan dan persepsi negatif, malah ada yang membuat dakwaan bahawa ia
telah memasuki pasaran Negara ini untuk digunakan dalam pilihan raya umum akan
datang bagi memenangkan pihak tertentu.
5. Dalam hal
ini, SPR memberi jaminan kepada semua pihak bahawa perkara seperti ini tidak
akan dibiarkan berlaku dalam proses pilihan raya akan datang. SPR akan
memastikan tiada sebarang penipuan atau penyelewengan berlaku dalam proses
pilihan raya itu. Sebarang cubaan penipuan dan cubaan mensabotaj sistem pilihan
raya di Malaysia ini akan dikenakan tindakan undang-undang.
6. SPR berharap
orang ramai tidak merasa bimbang dengan perkara ini dan memberi sepenuh
keyakinan serta kepercayaan kepada badan ini dalam mengendalikan proses pilihan
raya dengan adil dan telus. Orang ramai juga diminta berhati-hati, tidak mudah
terpedaya atau mudah mempercayai sebarang mesej tular dan dakwaan yang tidak
sahih bertujuan menimbulkan kebimbangan selain meragui kewibawaan SPR.
7. Untuk
makluman semua pihak, dalam setiap pengundian semasa pilihan raya, petugas SPR
akan memeriksa jari-jari pengundi itu terlebih dahulu bagi memastikan tiada
kesan dakwat atau minyak pada jari pengundi atau sama ada mereka memakai jari
palsu sebagaimana yang ditularkan itu. Setelah dipastikan barulah jari pengundi
tersebut dicelup dengan dakwat pilihan raya dan diberikan kertas undi.
8. SPR akan
mengambil langkah yang lebih ketat dengan memeriksa jari setiap pengundi secara
lebih teliti bagi memastikan tiada elemen penipuan dan cubaan mensabotaj sistem
pilihan raya di Negara ini.
9. SPR juga
memberi peringatan keras akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana
pihak yang cuba melakukan penipuan dalam proses pilihan raya akan datang.
Sekian, terima kasih.
DATUK SERI MOHD HASHIM
BIN ABDULLAH
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan
Raya Malaysia
PUTRAJAYA
Tarikh: 10
Mac 2017